JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengenal pasti kebakaran besar yang berlaku di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan bermula malam tadi melibatkan gas metana yang sering digunakan dalam aktiviti pekhemahan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, dianggarkan 2,000 botol gas metana sebesar 250 gram itu dikesan masih meletup ketika kerja-kerja memadam dijalankan.

“Pada jam 1 petang ini, kerja-kerja overhaul menggunakan eskavator dijalankan di mana kita keluarkan sisa-sisa kebakaran bagi mengenal pasti adakah sebarang mangsa tertimbus.
“Tujuan kedua kita bersihkan sisa kebakaran ini adalah bagi membolehkan siasatan forensik dilakukan dan pagi tadi antara cabaran dihadapi ketika kerja memadam adalah beberapa siri letupan yang menggemparkan.

“Hasil siasatan mendapati letupan kecil itu berpunca daripada botol mengandungi gas butin atau metana berkapasiti 250 gram yang akhirnya berjaya dipadamkan keseluruhan di mana pemilik memaklumkan botol gas itu diletakkan dalam stor sebanyak lebih 2,000 botol,” katanya kepada sidang media di lokasi kebakaran hari ini.
Media hari ini melaporkan, sejumlah 2,000 tin yang mengandungi gas metana di dalam premis terbakar mendatangkan bahaya kepada anggota bomba dan penyelamat untuk memadam kebakaran besar yang berlaku di Pasar Borong Selangor malam tadi.

Kebakaran dipercayai bermula sekitar jam 10.50 malam tadi dipercayai berpunca dari sebuah kedai barangan logam di kawasan pasar berkenaan.
Menurut Ashrul Riezal, kerja mengalihkan runtuhan dan sisa kebakaran menggunakan jengkaut dilakukan pihaknya susulan wujud aktiviti penghuni di dalam bangunan itu.
Menurutnya, tindakan berkenaan dilakukan selepas pihaknya menemui tanda-tanda wujud aktiviti penghuni di dalam bangunan berkenaan.
Katanya lagi, hasil pemeriksaan awal selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya mendapati terdapat beberapa petunjuk termasuk penemuan katil serta kesan aktiviti bermalam di dalam premis berkenaan.
“Setakat ini bomba belum dapat mengesahkan sama ada terdapat mangsa kerana perlu menunggu kerja-kerja mengalihkan timbunan sisa kebakaran selesai.
“Kerja-kerja pengalihan sisa kebakaran ini mengambil masa antara lima sehingga lapan jam sebelum pasukan forensik bomba digerakkan masuk ke dalam lokasi kebakaran,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Ashrul Riezal berkata, semakan bersama pemilik premis mendapati keseluruhan pekerja sudah dikenal pasti dan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan kehilangan individu setakat ini.
Bagaimanapun, katanya, operasi pencarian masih diteruskan bagi memastikan tiada mangsa yang tercicir atau terperangkap dalam timbunan sisa kebakaran.
Mengulas cabaran sepanjang operasi pemadaman, beliau berkata, pihaknya berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air selain keadaan api yang marak menyebabkan kerja pemadaman dari bahagian bawah sukar dilakukan.
Katanya, atas faktor keselamatan, pihaknya mengambil keputusan tidak membenarkan anggota memasuki bangunan sebaliknya menggunakan empat jentera Aerial Ladder Platform (ALP) untuk melakukan pancutan air dari bahagian atas.






