Polis sahkan kereta hilang kawalan sebelum terbabit nahas ragut enam nyawa

POLIS Pahang mengesahkan kereta Toyota Camry yang terlibat dalam nahas awal pagi ini dipercayai hilang kawalan lalu merempuh sebuah lori menyebabkan enam sahabat maut di Kilometer 86, Jalan Kuala Lumpur–Kuantan, Karak di Bentong.

Menurut polis, mangsa yang maut ialah V Mugilan, 25, K Dineshvaran, 22, K Alaganathan, 21, A Kanabati Raja, 19, S Kiisven, 17, dan M Paranthaman, 16.

ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 86, Jalan Kuala Lumpur–Kuantan, Karak awal pagi ini. GAMBAR: IPD Bentong

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayub berkata, kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Camry yang dinaiki kesemua mangsa dari arah Kuantan menuju ke Kuala Lumpur.

“Apabila tiba di lokasi kejadian yang merupakan jalan menuruni bukit dan berselekoh, kenderaan dinaiki kesemua mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke arah bertentangan dan melanggar bahagian hadapan sebuah lori jenis Hino.

“Akibat kemalangan itu, pemandu bersama lima penumpangnya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ENAM sahabat yang maut dalam nahas di Kilometer 86, Jalan Kuala Lumpur–Kuantan, Karak awal pagi ini. GAMBAR: Facebook pembaca

Azry Akmar berkata, pemandu lori berusia 31 tahun seorang lelaki tempatan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki serta badan.

Menurutnya, kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Temerloh bagi proses bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai dan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta memandu dengan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Media hari ini melaporkan, enam lelaki maut selepas kereta Toyota Camry dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori satu tan di Jalan Karak Lama menghala ke Temerloh, berhampiran Klinik Desa Jambu Rias di Bentong awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.25 pagi itu, kesemua mangsa yang berusia antara 15 hingga 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat tersepit selepas kenderaan dinaiki mengalami rempuhan kuat.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img