POLIS Pahang membuka siasatan berhubung dakwaan seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ditampar oleh seorang ahli politik ketika menghadiri Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 di Janda Baik, Bentong pada 20 Mei lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 30 Mei lalu daripada mangsa yang berusia 23 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang ahli politik berusia 62 tahun dipercayai menampar pipi kiri mangsa ketika berada di dalam dewan Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Kampung Janda Baik.
“Perbuatan itu didakwa berlaku di hadapan beberapa individu yang turut berada di lokasi kejadian.
“Mangsa membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan ahli politik tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, seorang pelajar universiti yang juga cucu kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, mendakwa ditampar seorang bekas Senator ketika menghadiri Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 di ILMU Janda Baik.
Mangsa mendakwa insiden berlaku selepas tamat sesi ceramah program berkenaan, manakala bekas Senator terbabit dilaporkan menafikan dakwaan tersebut.
Polis Kelantan hari ini memaklumkan siasatan kes terbabit telah diserahkan kepada Polis Pahang untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, pihaknya hanya menerima laporan yang dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
Yahaya dalam pada itu berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan serius akibat kejadian itu dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan polis turut menerima laporan daripada ahli politik terbabit semalam berhubung kejadian sama.
Menurutnya, keterangan mangsa dan suspek telah dirakam, manakala beberapa saksi lain akan dipanggil bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.


