DATUK Seri Anwar Ibrahim berharap mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini akan membuat keputusan berhubung cadangan mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) kepada umum.
Perdana Menteri turut menyerahkan kepada orang ramai untuk meneliti laporan RCI TH itu sekiranya ia diputuskan untuk didedahkan.
“Kalau tak salah, pertahankan. Kalau salah, dakwa. Kalau dihukum masuk penjara, masuk penjara. Itu bukan urusan saya.
“Sistem kita menetapkan siasatan itu (dibuat oleh) badan siasatan, buat pertuduhan itu (oleh) Peguam Negara, hukum (dibuat) para hakim,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garisson, Kem Syed Sirajuddin di Gemas, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam menyokong hasrat Anwar untuk mendedahkan laporan berkenaan kepada umum.
Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berharap laporan itu dinyahklasifikasikan daripada Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa beliau sebagai Perdana Menteri juga perlu bersikap jujur dalam setiap perkara yang dilakukan, selain memastikan segala proses dilaksanakan mengikut Perlembagaan serta peraturan yang ditetapkan.
“Saya singgung (sentuh) hal (RCI TH) ini kerana negara bagi saya tidak mungkin pertahan keamanannya kalau orang diamanahkan itu mengkhianati amanah,” katanya.






