PN fail permohonan mulakan prosiding hina mahkamah ke atas KP RoS

PERIKATAN Nasional (PN) memfailkan permohonan secara ex parte bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Zulfikar Ahmad atas dakwaan menghina mahkamah.

Permohonan itu difailkan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersama empat individu lain dengan menamakan Zulfikar sebagai responden tunggal.

Peguam yang mewakili gabungan itu, Rafique Rashid Ali, mengesahkan permohonan berkenaan telah difailkan.

PN mendakwa RoS sengaja bertindak mendahului keputusan mahkamah dengan membatalkan pendaftaran gabungan itu ketika permohonan semakan kehakiman dan penangguhan pelaksanaan masih belum selesai, lapor FMT.

PN mendakwa tindakan itu bertujuan mengganggu serta menghalang proses pentadbiran keadilan, selain menyebabkan permohonan semakan kehakimannya tidak lagi membawa sebarang kesan.

Menurut pemohon, tindakan Zulfikar dilakukan dengan pengetahuan bahawa prosiding berkenaan masih berjalan dan perkara yang dipertikaikan masih dalam pertimbangan mahkamah.

Mereka mendakwa tindakan itu mempunyai kesan mengganggu, menghalang dan mendahului proses keadilan dalam kes berkenaan. Pengurusan kes secara kamar ditetapkan pada 12 Nov.

Pada 5 Okt, PN memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap RoS dengan memohon, antaranya perintah certiorari untuk membatalkan notis bertarikh 23 Sept yang menggantung aktiviti gabungan itu bagi tempoh tidak ditentukan.

PN turut mencabar notis tunjuk sebab bertarikh 22 Sept yang mengarahkannya menjelaskan mengapa pendaftarannya tidak sepatutnya dibatalkan, selain memohon mahkamah mengisytiharkan kedua-dua notis itu tidak sah dan terbatal.

Pada 13 Okt, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada PN untuk memulakan prosiding semakan kehakiman.

Seminggu kemudian, RoS membatalkan pendaftaran gabungan itu.

Pada 22 Okt, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan pembatalan pendaftaran tersebut, sekali gus membolehkan PN bertanding dalam PRN Melaka akan datang menggunakan lambang gabungan itu sendiri.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here