PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Felda yang pernah muncul sebagai syarikat perladangan terbesar di dunia dan menjana keuntungan berbilion ringgit setahun, kini menanggung kerugian hampir RM10 bilion akibat salah urus serta campur tangan politik yang berlebihan.
Beliau berkata, sebaik kembali menerajui pentadbiran negara, laporan yang diterima menunjukkan Felda dibelenggu hutang hampir RM10 bilion, sekali gus memaksa kerajaan menanggung beban kewangan yang besar setiap tahun.
“Lapan tahun yang lalu, timbul perubahan keputusan. Campur tangan politik berlebihan. Akhirnya, yang untung RM10 bilion itu sekarang dah rugi.
“Saya sekarang ambil alih dan jaga Felda. Sebab apa? Saya dapat laporan Felda berhutang hampir RM10 bilion. Ini bukan politik, ini kenyataan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin di Gemas hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman.
Menurut Anwar, ketika diterajui tokoh seperti Raja Alias Raja Muhammad Ali dan Allahyarham Tan Sri Taib Andak, Felda diurus dengan cekap sehingga muncul sebagai syarikat perladangan terbesar di dunia, selain menjana keuntungan berbilion ringgit setiap tahun.
Tambah beliau, kejayaan itu turut membolehkan keluarga peneroka menikmati pulangan dan hasil yang baik daripada usaha membangunkan tanah rancangan.
Beliau berkata, kemerosotan Felda bukan berpunca daripada kegagalan peneroka bekerja keras, sebaliknya disebabkan mereka yang diamanahkan mengurus agensi itu mengkhianati kepercayaan yang diberikan.
“Peneroka tak bekerja kuat? Tidak. Masalahnya orang yang diamanah itu khianat kepada amanah. Ini kenyataan yang ada sekarang,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata, generasi muda yang akan mewarisi negara memikul tanggungjawab mempertahankan keamanan serta tidak membenarkan unsur yang memecahbelahkan masyarakat terus berkembang.
Beliau turut menegaskan negara akan terus kekal aman dan selamat sekiranya kedudukan kepimpinan Melayu, institusi Raja-Raja Melayu serta kepimpinan dalam pelbagai institusi utama negara terus dipertahankan berlandaskan integriti dan amanah.






