Tingkatan Enam kekal di bawah KPM – PM

SISTEM pendidikan Tingkatan Enam akan kekal di bawah pengurusan Kementerian Pendidikan (KPM) buat masa ini, dengan memperkasakan identitinya sebagai program prauniversiti yang berasingan daripada aliran sekolah menengah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan pelaksanaan semasa, khususnya membabitkan sistem pengurusan dan skim perkhidmatan guru, walaupun sebelum ini terdapat cadangan untuk meletakkan Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Buat sementara ini biar kekal dahulu di Kementerian Pendidikan kerana masalah sistem guru dan sebagainya. Kita boleh kaji semula selepas pelaksanaan untuk beberapa tahun akan datang.

“Kalau dirasakan perlu dalam keadaan yang sesuai, boleh diwujudkan kolej khas Tingkatan Enam, tetapi buat masa sekarang saya putuskan supaya prauniversiti Tingkatan Enam ini masih di bawah Kementerian Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, walaupun kekal di bawah KPM, pelajar Tingkatan Enam perlu diberikan pengiktirafan sebagai kumpulan pascasekolah dan prauniversiti, termasuk ditempatkan di blok berasingan serta mempunyai pengurusan dan disiplin sendiri.

Beliau berkata, pendekatan itu penting supaya pelajar Tingkatan Enam tidak lagi dilihat sebagai sebahagian daripada aliran sekolah menengah biasa, sebaliknya mempunyai identiti tersendiri sebagai laluan ke pendidikan tinggi.

“Jangan jadikan sebahagian daripada sekolah itu sentimen prauniversiti itu. Kalau dalam satu sekolah, Tingkatan Enam itu harus ada blok berasingan, mereka merasakan mereka ini betul-betul ‘post-school‘ dan ‘pre-university‘,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri ketika berucap pada Malis Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 Januari lalu, memaklumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti membabitkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi bermula tahun depan.

Beliau berkata, langkah itu sekali gus menjadikan kedua-dua kelompok secara rasmi adalah pelajar pendidikan tinggi.

“Jadi, pelajar Tingkatan Enam dan Matrikulasi bukan lagi pelajar sekolah… mereka sudah masuk kategori pendidikan tinggi,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img