KERAJAAN membuat keputusan pengurusan pendidikan prauniversiti Tingkatan Enam kekal di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan tidak dipindahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) seperti perancangan sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan memastikan sistem pengurusan, peranan guru serta pelaksanaan pendidikan Tingkatan Enam dapat berjalan lebih lancar sebelum sebarang perubahan struktur dibuat pada masa hadapan.
Menurut beliau, Tingkatan Enam perlu dilihat sebagai pendidikan prauniversiti yang mempunyai kedudukan tersendiri dengan pengurusan lebih tersusun.
Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan termasuk mewujudkan blok berasingan serta pentadbiran khusus bagi memperkukuh pengurusan Tingkatan Enam, meskipun kekal di bawah KPM, katanya ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pendidikan Tingkatan Enam terus diperkasa sebagai laluan persediaan pelajar sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
BERITA LANJUT MENYUSUL






