Myanmar setuju terima semula 5,000 pelarian Rohingya di Malaysia

KERAJAAN Myanmar bersetuju untuk menerima semula 5,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia, hasil rundingan diplomatik dan hubungan yang baik antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu adalah satu langkah awal dalam menangani isu berkenaan di samping bagi memastikan isu ketenteraman awam di Malaysia terus dapat dipelihara.

Beliau berkata, persetujuan itu dicapai menerusi hubungan baik Malaysia dengan Myanmar, sekali gus membuktikan isu pelarian tidak boleh diselesaikan hanya dengan gesaan supaya mereka dihantar pulang.

“Orang kata ‘hantar balik, hantar balik’. Nak hantar balik ke mana? Myanmar tidak mahu terima.

“Itu sebabnya hubungan baik dengan Myanmar penting. Sekarang ini mereka setuju ambil 5,000 orang dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Minum Petang Bersama PMX di Simpang Durian di Jelebu petang ini.

Perdana Menteri berkata, Myanmar juga bersetuju menerima semula 300,000 Rohingya yang berada di Bangladesh.

Beliau berkata, kerajaan masih berunding dengan Myanmar bagi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya yang sekian lama menjadi cabaran kepada beberapa negara di rantau ini.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, kerajaan tetap mengambil pendekatan tegas bagi memastikan pelarian Rohingya di Malaysia tidak mengganggu ketenteraman awam.

“Saya sudah beri amaran dan saya juga sudah arahkan kepada polis. Saya tidak mahu Rohingya ganggu jalan raya dan tempat-tempat awam. Ini Malaysia, tak boleh dia ganggu kita.

“Jadi polis akan ambil tindakan, pindahkan dia. Kita cegah. Sebab itu saya beritahu kepada orang Rohingya, duduk baik-baik, kita sedia tempat asing. Kamu jangan ganggu perniagaan orang Malaysia, jangan ganggu lalu lintas dan tempat mereka duduk, nanti orang marah.” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img