BANK Negara Malaysia (BNM) telah memberi teguran dan amaran awal kepada Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung isu pengurusan institusi itu antara 2014 hingga 2017, namun ia tidak diambil tindakan sehingga menyebabkan berlakunya kerugian besar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu didedahkan dalam laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung TH yang diterbitkan hari ini.
Menurutnya, keputusan kerajaan mendedahkan laporan berkenaan dibuat secara telus bagi membolehkan rakyat mengetahui punca sebenar isu yang berlaku selain memastikan kelemahan sama tidak berulang.
“Dalam laporan penuh RCI tentang TH ternyata amaran awal telah diberikan 2014, 2017 tidak diendahkan dan itu menyebabkan kerugian besar.
“Tapi yang penting keputusan jemaah menteri membuka secara telus siasatan ke akar umbi daripada betul disiasat pada 2014 hingga 2017 tetapi juga selepas itu ada tanya mengapa jadi 2018 hingga 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Temu Anwar Negeri Sembilan di Seremban hari ini, lapor Buletin TV3.
Menurut Anwar, proses pemulihan TH sedang dilaksanakan di bawah pengurusan semasa dipengerusikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain bagi memastikan institusi itu kembali kukuh.
Katanya, pendedahan laporan RCI itu bukan bertujuan membangkitkan semula isu lama, sebaliknya menjadi peringatan supaya amanah rakyat terus dipelihara.
“Ini semua biar rakyat menilai. Bagi saya bukan membongkar kisah lama tetapi sebagai pengajaran supaya jangan diulang lagi kerja merosakkan dan mengkhianati amanah rakyat,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sidang khas Parlimen bagi membincangkan laporan RCI berkenaan akan diadakan dalam tempoh terdekat selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Katanya, Ahli Parlimen perlu diberikan ruang untuk meneliti laporan itu sebelum penjelasan lanjut dan perbahasan secara terbuka dibuat.
“Saya sudah cadangkan secepat mungkin supaya ada masa sekarang Ahli Dewan Rakyat meneliti dan mendengar penjelasan lanjut serta membahas secara terbuka sepanjang hari,” katanya.






