Ugut, cedera pengawal peribadi berpuasa, hukuman penjara lima tahun ahli perniagaan kekal

*“Perbuatan menghina tuhan agama lain satu perbuatan hina’’ kata Hakim

MAHKAMAH  Tinggi Shah Alam hari ini mengekalkan sabitan terhadap ahli perniagaan yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan mengugut, mencederakan dan menghina dua pengawal peribqdinya pada 2021.

Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim mengarahkan Chung Chee Yang, 48, menjalani hukuman penjara lima tahun bermula hari ini selepas menolak rayuan lelaki itu terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya.

Beliau dalam penghakimannya berkata kesalahan dilakukan Chung amat serius dan mahkamah wajar menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat.

“Tindakan mendera dan melakukan kekasaran kepada pekerja sendiri yang mencari nafkah untuk kelangsungan hidup wajar dibanteras sepenuhnya agar tiada lagi kejadian seperti ini berlaku pada masa hadapan.

“Perbuatan menghina tuhan agama lain satu perbuatan hina dan tidak wajar diucapkan oleh orang yang dikatakan banyak berbakti kepada masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Shamsulbahri berkata hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret juga dalam lingkungan yang dibenarkan undang-undang dan amat berpatutan dengan keseriusan kesalahan dilakukan, menyebabkan tiada alasan untuk beliau campur tangan dalam hukuman itu.

Beliau bagaimanapun, membenarkan hukuman penjara berasingan bagi tiga pertuduhan itu yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret berjalan secara serentak bermula hari ini.

Shamsulbahri juga menolak permohonan peguam yang mewakili Chung, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan hukuman tersebut.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Najiha Tengku Zahari.

Pada Mac 2025, Mahkamah Majistret Klang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun 10 bulan dan denda RM22,000 terhadap Chung serta memerintahkan hukuman penjara tambahan 21 bulan jika gagal membayar denda, selepas mendapati dia bersalah atas tiga pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, Chung didakwa mengugut pegawal peribadinya Mohd Azminizam Zulkepli, 49, dengan mengacukan pistol, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa mengeluarkan perkataan-perkataan dengan niat untuk melukakan perasaan keagamaan dengan mengaitkan perkataan Allah dan ibadah puasa yang didengar oleh Mohd Azminizam dan seorang lagi pengawal peribadinya Ahmad Shamsuri Zailani, 32.

Pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Chung didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di luar sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi, Klang antara 9.30 hingga 10.30 malam 13 April 2021.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img