3 pengarah syarikat didakwa salah guna wang NGO, terima wang hasil aktiviti haram lebih RM10 juta

TIGA pengarah syarikat dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan wang milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta menerima wang hasil aktiviti haram membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM10 juta.

Tertuduh iaitu Muhammad Jantan, 32; Wan Sharmaine Izani Wan Sarbi, 30; dan Muhammad Ali, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan dua hakim berasingan dan memohon dibicarakan.

Wan Sharmaine Izani dan Muhammad Ali adalah pengarah di sebuah syarikat yang sama, lapor BH.

Di Mahkamah Sesyen 1, Muhammad Jantan didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas lima pertuduhan menyalahgunakan wang milik Pertubuhan Imaan Malaysia berjumlah RM1,227,491.23 antara Januari 2022 hingga Januari 2024.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM1,994,404.26 daripada akaun bank milik syarikat (tempat kerja Wan Sharmaine Izani dan Muhammad Ali) ke akaun banknya dalam tempoh sama.

Wan Sharmaine Izani pula didakwa mengikut Seksyen 4(1) AMLATFPUAA atas 14 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM995,947.01 antara Januari 2022 hingga Februari 2026.

Bagi kedua-dua prosiding di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin itu, Muhammad Jantan diwakili peguam, Jason Singh, manakala Wan Sharmaine diwakili peguam, Shahrul Hamidi.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Jantan diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin, dan Wan Sharmaine RM100,000 juga dengan seorang penjamin.

Kedua-dua tertuduh turut diarahkan melapor diri di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan, tidak berhubung atau mengganggu mana-mana saksi pendakwaan, serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen 2, Muhammad Ali didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA atas lapan pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1,353,314.95 daripada akaun syarikat sama ke dalam akaun banknya antara Januari 2022 hingga Januari 2026.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang milik Pertubuhan Imaan Malaysia berjumlah RM166,950.

Wan Sharmaine pula didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas lima pertuduhan melupuskan wang milik Pertubuhan Imaan Malaysia berjumlah RM1,298,737.88 antara September 2021 hingga Januari 2022.

Selain itu, kedua-dua tertuduh berkenaan didakwa bersama mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA atas lima pertuduhan menyalahgunakan wang Pertubuhan Imaan Malaysia berjumlah RM6,510,333.50 dengan memindahkannya ke dalam akaun syarikat sama antara Januari 2022 hingga Januari 2026.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Ali diikat jamin sebanyak RM120,000 dengan seorang penjamin, manakala Wan Sharmaine pula RM100,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua tertuduh turut dikenakan syarat sama, iaitu perlu melapor diri di Ibu Pejabat SPRM setiap bulan, tidak berhubung atau mengganggu saksi pendakwaan, serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Sebutan semula kes kesemua tertuduh berkenaan ditetapkan pada 27 Ogos depan.

Mahkamah turut mengarahkan kes Muhammad Ali dan Wan Sharmaine dipindahkan untuk didengar bersama di Mahkamah Sesyen 1 Shah Alam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat, Shafiq Mahadi dan Muhammad Amin Azmi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img