JENAZAH Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros yang maut selepas ditikam dalam insiden pergaduhan di Korea Selatan Sabtu lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri di Rawang kira-kira jam 10.10 malam ini.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan tanah perkuburan yang dihadiri ahli keluarga, sanak saudara serta kawan rapat Allahyarham bagi memberikan penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Ahmad Shah, 26, dibawa ke Masjid Bandar Tasik Puteri pada 8.54 malam untuk disolatkan, sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 4 petang ini.
Dalam kejadian pada malam Sabtu lalu, Allahyarham dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas ditikam pada bahagian perut oleh seorang lelaki yang juga dipercayai warganegara Malaysia.
Insiden berlaku ketika Allahyarham cuba membantu rakannya yang diserang sekumpulan lelaki dalam satu pergaduhan di sebuah jalan di Daeso-eup, Daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan.
Akibat serangan itu, Allahyarham mengalami pendarahan serius sebelum dikejarkan ke hospital berdekatan tetapi disahkan meninggal dunia.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa Korea Selatan telah menahan suspek utama serta sekumpulan lelaki warga Malaysia bagi membantu siasatan.
Sementara itu, ibu Allahyarham, Zulfah Fadliani, 47, berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan urusan membawa pulang jenazah anaknya kembali ke tanah air dan selamat dikebumikan malam ini.
“Saya amat bersukur dan berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang membantu keluarga kami sehingga selesai segala urusan, saya sangat bersyukur dan terima kasih banyak kepada semua.
“Saya dan isteri arwah iaitu menantu saya, (Nurcahaya Ruslan) kami sama-sama memberi semangat, saya beri kekuatan kepada dia dan dia juga memberi kekuatan kepada saya,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pengebumian.
Beliau turut memaklumkan, menantunya itu dijangka akan kembali menetap di tanah air namun selepas ini beliau akan ke Korea Selatan untuk menguruskan barangan dia dan arwah untuk dibawa pulang.






