Juruteknik didakwa sebabkan tiga maut nahas di Pekan

Seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pekan hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian tiga pengguna jalan raya dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, Jun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Syed Muhammad Izzat Aiman Syed Ahmad, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun, lapor Buletin TV3.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu sebuah trak pikap secara melulu sehingga menyebabkan kematian Dr. Mohamad Zekry Zuhairy Mohd. Atan, 33, anak perempuannya, Dhea Sofia, 2, serta Ketua Penolong Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Cyberjaya, Azaharuddin Mohd. Ali, 46.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 67, Jalan Kuantan-Segamat pada jam 5.30 petang, 19 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamisah Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhamad Izwan Ishak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga perbicaraan kes selesai.

Tertuduh juga diarahkan melapor diri di Balai Polis Muadzam Shah, Rompin pada jam 9 pagi setiap Rabu sepanjang tempoh jaminan.

Mahkamah menetapkan 18 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan Dr. Mohamad Zekry yang bertugas sebagai Ketua Unit Forensik Hospital Segamat maut bersama anak perempuannya, Dhea Sofia, selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah trak pikap.

Dalam kemalangan sama, Azaharuddin turut maut selepas kenderaan yang dipandunya dipercayai dirempuh trak pikap berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan mendapati nahas dipercayai berlaku selepas trak pikap dipandu tertuduh cuba memotong sebuah lori sebelum terbabas ke lorong bertentangan dan bertembung dengan dua kenderaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img