SEORANG juruteknik ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai akibat dibunuh di dalam sebuah unit pangsapuri di Johor Bahru semalam.
Mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun dan bekerja sebagai juruteknik.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 11.12 malam berhubung penemuan mayat lelaki itu.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah kira-kira jam 10.50 malam.
“Turut ditemukan, sebilah pisau di sisi mangsa yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Raub, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk bagi mengenal pasti motif pembunuhan.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-218 2323 bagi membantu siasatan.


