Lelaki curi pakaian dalam wanita, dipenjara setahun

SEORANG pekerja kontraktor bangunan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Tawau hari ini selepas mengaku bersalah mencuri pakaian dalam wanita bernilai kira-kira RM70.

Tertuduh, Amirul Syafien Abdullah, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 10 Julai lalu.

Semasa prosiding, Dayang Aidaku Amira turut mempersoalkan tujuan tertuduh mencuri pakaian dalam wanita yang sudah dipakai.

“Apa kau buat dengan pakaian dalam yang dicuri ini? Untuk siapa? Untuk kegunaan sendiri?” soal beliau kepada tertuduh.

Majistret itu turut berkata mustahil pakaian dalam berkenaan diambil tanpa sebab memandangkan ia bukan pakaian baharu dan bertanya sama ada ia mahu dijual atau digunakan bagi tujuan lain.

Bagaimanapun, tertuduh yang masih bujang hanya menjawab, “Tidak yang arif” sebelum terus berdiam diri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri dua helai seluar dalam dan tiga helai baju dalam wanita milik isteri seorang lelaki di Kampung Haji Matahir di sini pada jam 3 pagi, 10 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan pendapatannya tidak menentu kerana bekerja sebagai pekerja kontraktor selain perlu menjaga serta menyara neneknya yang sudah lanjut usia.

Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan Amirul Syafien menjalani hukuman penjara selama 12 bulan bermula dari tarikh tangkapannya pada 10 Julai lalu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img