MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan akan membentangkan dapatan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) pada sidang khas Parlimen, minggu depan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberitahu demikian dan menambah sidang khas dijadualkan pada 11 Ogos itu dipanggil mengikut Peraturan Mesyuarat 14(1)(i).
Peraturan berkenaan memperuntukkan menteri membentangkan kenyataan atau taklimat rasmi mengenai perkara penting, mendesak atau berkepentingan awam.
“Menteri akan memberi penerangan mengenai dapatan laporan RCI serta langkah dan tindakan yang diambil kerajaan bagi memulihkan kedudukan kewangan TH.
“Selepas pembentangan, dibuka untuk perbahasan. Selepas tamat perbahasan, Menteri Agama akan menjawab (isu dibangkitkan Ahli Parlimen),” katanya, lapor BH.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu dilaporkan berkata, sidang khas itu akan diadakan pada Isnin minggu depan selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Ia bagi membolehkan Ahli Parlimen meneliti dapatan RCI serta membincangkan hala tuju pembaharuan institusi pengurusan haji negara.
Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerbitkan laporan RCI setebal 211 halaman mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan itu mengandungi pelbagai syor bagi memperkukuh tadbir urus serta menambah baik operasi institusi berkenaan.
Antara dapatan utama RCI ialah TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017 berbanding keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangannya.
Suruhanjaya itu turut mengenal pasti beberapa kelemahan tadbir urus, termasuk kuasa menteri yang terlalu luas dalam pelantikan, pertindihan peranan antara ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan, selain pengaruh politik dalam pentadbiran TH.
Mengenai gesaan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya sidang khas itu dilanjutkan kepada dua hari, Johari berkata, beliau belum menerima sebarang permintaan rasmi berhubung cadangan berkenaan.






