Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut langgar MPV

SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi warga Singapura maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan tiga motosikal di Kilometer 44.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat Kulai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.05 petang itu, mangsa berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah, manakala dua lagi penunggang motosikal mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama dua rakannya yang juga penunggang motosikal berkuasa tinggi sedang dalam perjalanan dari arah utara menghala ke selatan.

Beliau berkata, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah Toyota Vellfire yang dipandu seorang wanita warga Singapura berusia 32 tahun.

“Ketika kejadian, MPV itu berada di lorong kanan sebelum berlaku pelanggaran yang turut membabitkan dua lagi motosikal.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi penunggang motosikal berusia 57 dan 39 tahun mengalami kecederaan dengan seorang daripadanya patah paha kanan, sementara seorang lagi cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, pemandu Toyota Vellfire terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed di talian 013-3063710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img