SEORANG penagih dadah yang menjadi buruan polis sejak dipercayai terbabit dalam cubaan membunuh dua anggota polis pada Jun lalu maut selepas ditembak ketika menyerang pegawai dan anggota polis menggunakan parang di Kampung Klian Gunung Ijok, Batu Kurau, dekat Larut, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, suspek yang bersembunyi di sebuah pondok dusun buah-buahan bertindak agresif apabila cuba menetak anggota polis yang menjalankan serbuan sebelum ditembak bagi mempertahankan diri.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam yang membawa polis ke lokasi persembunyian suspek.
Beliau berkata, sebaik anggota polis menghampiri pondok berkenaan, suspek bangun lalu mencapai sebilah parang yang berada berhampiran sebelum menyerang pegawai dan anggota yang menyertainya.
“Bagi mempertahankan diri daripada ancaman tersebut, pihak polis melepaskan satu das tembakan yang mengenai kedua-dua paha suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama hari ini, lapor Buletin TV3.
Menurut beliau, suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan pada jam 9.20 pagi.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai pekerja kampung mempunyai 10 rekod jenayah lampau, termasuk tiga kes jenayah dan tujuh kes berkaitan dadah.
“Bedah siasat ke atas mayat suspek sedang dijalankan di Hospital Taiping,” katanya.
Mohd Alwi berkata, suspek sebelum ini diburu kerana dipercayai menyerang dua anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Selama di Kampung Sungai Jernih, Ijok pada 23 Jun lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari itu, seorang anggota berusia 44 tahun mengalami kecederaan di kepala, perut dan tangan selepas ditikam serta ditoreh, manakala seorang lagi anggota berusia 27 tahun cedera di dahi, mata kiri hingga pipi serta tangan dan siku.
Beliau berkata, kedua-dua anggota terbabit menerima rawatan di Hospital Taiping selama tiga hari dan telah kembali bertugas sejak seminggu lalu.






