SEEKOR buaya gergasi sepanjang lima meter ditembak di tebing Sungai Kemena berhampiran Pulau Binai, petang semalam.
Reptilia berkenaan ditemui kira-kira jam 5.30 petang oleh pasukan pemburu buaya berlesen yang dalam perjalanan pulang selepas menjalankan operasi di Sebauh.
Pemburu buaya berlesen, Juni Kung berkata, pasukannya singgah di Pulau Binai untuk memeriksa pancing yang dipasang di sepanjang Sungai Kemena sebelum terserempak dengan buaya berkenaan.
“Ketika itu kami ternampak seekor buaya sepanjang lima meter sedang berehat di tebing sungai sambil membuka rahangnya.
“Melihat kepada saiznya yang besar selain mengambil kira faktor keselamatan, pasukan mengambil tindakan menembak buaya itu kira-kira jam 5.30 petang,” katanya.
Menurutnya, operasi pemeriksaan pancing kemudian diteruskan sebelum menemukan tiga lagi buaya bersaiz sederhana yang tersangkut pada pancing.
Katanya, ketiga-tiga reptilia itu masing-masing berukuran lebih tiga meter panjang sebelum dibawa ke jeti Kampung Baru untuk tindakan lanjut.
Juni berkata, penemuan buaya gergasi itu membuktikan Sungai Kemena masih menjadi habitat utama reptilia berkenaan.
“Kehadiran buaya bersaiz besar ini membuktikan kawasan Sungai Kemena masih mempunyai populasi reptilia berkenaan dan aspek keselamatan perlu diberi keutamaan,” katanya.






