POLIS telah memanggil 10 individu termasuk pihak sekolah, guru dan rakan rapat bagi membantu siasatan kes kematian dua pelajar perempuan yang ditemukan maut di Flat Sungai Pari, Buntong, pada 24 Julai lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, rakaman percakapan semua saksi berkenaan telah diambil bagi melengkapkan siasatan.
“Kita juga telah membuat rakaman percakapan daripada saksi-saksi yang dipanggil termasuk pihak sekolah, guru serta rakan terdekat kedua-dua mangsa,” katanya pada sidang media hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, polis kini masih menunggu keputusan analisis forensik terhadap barangan peribadi milik kedua-dua mangsa bagi mendapatkan petunjuk baharu berkaitan kes berkenaan.
Menurutnya, keputusan analisis itu penting bagi membantu melengkapkan siasatan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Semalam, media melaporkan keluarga kedua-dua remaja terbabit bercadang mengambil tindakan perundangan kerana mendakwa wujud unsur kecuaian dalam insiden berkenaan.
Mereka mendakwa kawasan rumah pangsa 15 tingkat itu tidak dipagar dan kelihatan seperti projek terbengkalai sehingga membolehkan orang ramai termasuk kanak-kanak memasuki kawasan tersebut dengan bebas.
Pada 24 Julai lalu, dua pelajar perempuan ditemukan maut di Flat Sungai Pari, Buntong dan kes itu kini masih dalam siasatan polis.






