MENTERI Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini memulakan agenda dengan menyantuni komuniti Malaysia menerusi program sukan dan pertemuan bersama diaspora, selain mengadakan sesi libat urus dengan delegasi Malaysia sebagai persediaan menghadapi Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26).
Beliau dijadual memulakan program dengan menghadiri sarapan pagi bersama Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal Razali sebelum menyempurnakan perasmian pertandingan boling bersempena dengan Sukan Malaysia di Qatar (SUQMA) 2026.
Pada majlis itu, Fahmi dijangka menyampaikan ucapan sebelum menyempurnakan simbolik perasmian menerusi balingan pertama bersama Duta Besar Malaysia dan Presiden Malaysia Association in Qatar (MAQ), lapor Bernama.
Beliau kemudian dijadual menghadiri majlis makan tengah hari bersama diaspora Malaysia. Majlis itu dijangka menghimpunkan wakil MAQ, Malaysian Business Executive Council-Qatar (MBEC), wakil komuniti serta persatuan pelajar Malaysia di negara berkenaan.
Pertemuan itu turut menyediakan ruang interaksi antara Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI dengan rakyat Malaysia yang menetap, bekerja, menjalankan perniagaan dan melanjutkan pengajian di Qatar.
Pada sebelah petang, Fahmi dijadual mengadakan sesi minum petang bersama wakil pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dan seterusnya dijadual menghadiri mesyuarat pra-majlis bersama delegasi Malaysia sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi ITU PP-26.
Fahmi diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Mano Verabathran.
Delegasi Malaysia turut disertai wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta wakil industri telekomunikasi negara, antaranya Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.
Fahmi tiba di Doha pada 10.30 malam waktu tempatan (3.30 pagi waktu Malaysia) bagi mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP-26 dari 6 Nov hingga 11 Nov ini, yang turut menjadi platform penting bagi penglibatan negara dalam perbincangan dan kerjasama antarabangsa berkaitan sektor telekomunikasi serta teknologi digital.
Lawatan kerja itu memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh kedudukan Malaysia dalam arena telekomunikasi antarabangsa, termasuk misi mempertahankan kerusi Majlis ITU bagi penggal 2027 hingga 2030.





