POLIS masih belum dapat merakam keterangan isteri bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid serta dua anaknya berhubung siasatan dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan kerana ketiga-tiga mereka dipercayai berada di luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, semakan rekod Jabatan Imigresen mendapati mereka meninggalkan negara sejurus selepas laporan polis dibuat.
“Kertas siasatan telah ditaklimat dan diedarkan ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan dan nasihat selanjutnya. Kami masih menunggu maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara.
“Setakat ini, seramai 17 saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.
Pada 3 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wujud gerakan dipercayai bertujuan menjatuhkan kerajaan dengan menggunakan pengaruh media serta institusi antarabangsa.
Media sebelum ini melaporkan Bukit Aman sudah merakam keterangan peguam Na’imah, iaitu Muhammad Nizamuddin Hamid bagi membantu siasatan berhubung siasatan kes sama.
Nizamuddin antara dua peguam yang dinamakan dalam satu laporan polis yang membawa kepada siasatan berhubung dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan.
Na’imah serta dua anak dan peguam kemudian dilaporkan memfailkan saman terhadap Anwar dan dua lagi berhubung isu itu.


