KEMALANGAN membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Raptor dihempap pokok tumbang di Jalan Lama Gombak-Bentong berhampiran Genting Sempah hari ini mengorbankan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd Radzi Rahimi bersama isteri, anak serta adik iparnya.
Berita menyedihkan itu dikongsikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pahang merangkap Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat. Turut mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham Mohd Radzi dan keluarga adalah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
“Amat dukacita menerima perkhabaran pemergian Allahyarham Edy, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, bersama isterinya, Nuriani Mohammad Jafri; anak mereka, Muhammad Rizz Hazim serta adik iparnya, Mohammad Nizam Mohammad Jafri yang terkorban dalam satu kemalangan di Bentong.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa mereka, melimpahkan rahmat-Nya serta menempatkan mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman.
“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga. Semoga dikurniakan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya dalam hantaran itu.

Media sebelum ini melaporkan empat individu maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat Ford Raptor yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Lama Gombak-Bentong berhampiran Genting Sempah.
Difahamkan, ketika kejadian, kenderaan tersebut dinaiki lima individu termasuk empat sekeluarga.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu menyebabkan empat mangsa meninggal dunia.

“Mangsa yang maut ialah pemandu lelaki berusia 35 tahun, penumpang hadapan wanita berusia 36 tahun bersama kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan penumpang belakang yang merupakan lelaki berusia 40 tahun.
“Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang duduk di bahagian belakang pula mengalami kecederaan,” katanya sebelum ini.






