HASRAT seorang wanita mendapatkan pendapatan tambahan menerusi pekerjaan sambilan bertukar mimpi ngeri apabila kerugian RM51,666 selepas terjerat dengan sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian.
Mangsa berusia 37 tahun itu dipercayai terpedaya dengan iklan pekerjaan bertajuk New Career Opportunity yang ditemukan menerusi Facebook pada 31 Oktober lalu.
Menurut sumber, wanita terbabit kemudian menghubungi individu yang mengiklankan pekerjaan itu menerusi WhatsApp sebelum ditawarkan tugasan membuat tempahan hotel melalui pautan laman sesawang diberikan.
Mangsa dijanjikan komisen sebanyak 10 peratus bagi setiap tempahan yang diselesaikan, namun perlu membuat pembayaran terlebih dahulu ke beberapa akaun bank bagi melengkapkan tugasan berkenaan.
“Mangsa membuat sebanyak 13 transaksi ke empat akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM52,725.
“Bagaimanapun, mangsa hanya menerima bayaran balik sebanyak RM1,059.30 sebelum menyedari dirinya mengalami kerugian RM51,666,” kata sumber itu.
Menurut sumber, mangsa mula mengesyaki sesuatu tidak kena apabila permintaannya untuk mendapatkan semula wang yang dibayar tidak dilayan, sebaliknya terus diminta membuat pembayaran tambahan.
Menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan, wanita itu kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Sea Park, Rabu lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.





