SPRM kongsi kaedah tangani ancaman rasuah dalam pengurusan Mara

RASUAH dalam perolehan, campur tangan pihak berkepentingan serta pemberian kontrak secara tidak wajar merupakan antara ancaman besar yang boleh menggugat kelancaran sesebuah organisasi.

Pendedahan ini dikongsikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Samsul Salip dalam sesi perkongsian bersama kira-kira 80 pegawai kumpulan pengurusan dan profesional Majlis Amanah Rakyat (Mara).

PROGRAM Smart Integriti Mara Bil 2 Tahun 2026 anjuran bersama SPRM dan Mara hari ini. GAMBAR: SPRM

Program Smart Integriti Mara Bil 2 Tahun 2026 yang berlangsung di ibu pejabat Mara  di ibu negara itu menekankan kepentingan pematuhan terhadap prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Dengan kerjasama Unit Integriti Mara, program ini bertujuan memperkukuh budaya integriti dan pencegahan rasuah dalam kalangan pegawai pengurusan Mara.

“Kumpulan pengurusan memainkan peranan penting dalam memastikan jenayah rasuah serta kepincangan tata kelola tidak berlaku dalam agensi utama seperti Mara,” kata Samsul dalam kenyataan yang dikeluarkan SPRM hari ini.

Beliau menegaskan bahawa pendedahan mengenai integriti dan anti rasuah adalah topik kritikal yang perlu difahami dan dilaksanakan secara konsisten.

Menurut Samsul, sebagai agensi yang menyalurkan geran bantuan kepada masyarakat Bumiputera dalam bidang pendidikan dan perniagaan, MARA wajib memastikan aspek integriti dan tata kelola sentiasa terjamin.

Langkah ini katanya, penting bagi mengelakkan ketirisan serta memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.

“Usaha memperkukuh integriti tidak seharusnya terhenti pada penganjuran program semata-mata, tetapi mesti diterjemahkan dalam pelaksanaan tugasan harian setiap pegawai Mara. Program ini turut merangkumi sesi interaktif, perbincangan kes, dan latihan amali bagi meningkatkan kefahaman peserta,” tambahnya.

Penganjuran Program Smart Integriti Mara mencerminkan komitmen berterusan SPRM dalam memperkasa budaya integriti serta memperkukuh usaha pencegahan rasuah dalam sektor awam.

Ia menjadi bukti bahawa integriti bukan sekadar slogan, tetapi asas kepada keberkesanan dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi penting negara.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img