SEPASANG suami isteri cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka merempuh sekumpulan gajah yang melintas di Kilometer 274.6, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas Plaza Tol Cheneh menghala ke Kuala Terengganu, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, pemandu, Abdul Wahid Ismail, 54, mengalami kecederaan pada tangan, manakala isterinya, Fauziah Muda @ Jusoh, 52, turut cedera pada bahagian sama.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh, Zubaderi Dahari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.31 malam sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Estima yang melanggar sekumpulan gajah yang sedang melintas lebuh raya.
“Kami bertindak mengeluarkan mangsa dari kenderaan dan memberikan rawatan awal sebelum menyerahkan mereka kepada pasukan perubatan.
“Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pasangan suami isteri itu sedang dalam perjalanan dari Cheneh menuju ke Pasir Gajah dan memandu di lorong kiri lebuh raya.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu mendapati sekumpulan gajah berada di hadapan kenderaan.
“Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu gagal mengelak sebelum menekan brek dan melanggar haiwan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan pada tangan dan menerima rawatan di Hospital Kemaman.
Kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59).






