KESUMA diarah segerakan proses permohonan 15,000 pekerja asing – Fahmi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyegerakan pemprosesan 15,000 permohonan pekerja asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor yang memerlukan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebagai langkah memastikan keperluan tenaga kerja sektor berkaitan dapat dipenuhi sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Jemaah Menteri juga telah mengambil maklum mengenai isu permohonan bagi pekerja-pekerja asing yang mana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah memohon supaya pihak KESUMA segera menguruskan 15,000 permohonan warga pekerja asing yang pertama.

“Ini bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sektor-sektor yang terlibat dan secara langsung menyokong aktiviti ekonomi dalam negara kita,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Pengurusan Pusat Setempat atau One Stop Centre (OSC) bagi pekerja asing akan diletakkan sepenuhnya di bawah KESUMA selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang dipersetujui pada 1 Julai lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, langkah itu sebahagian daripada inisiatif strategik kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus pengambilan pekerja asing serta memastikan rantaian operasi industri yang memerlukan tenaga kerja tidak terjejas.

Permohonan kuota pekerja asing akan dilaksanakan sepenuhnya menerusi modul eQuota dalam sistem Foreign Worker Centralized Management System (FWCMS) yang merupakan platform digital tunggal dilantik kerajaan bagi menguruskan urusan pengambilan pekerja asing di Malaysia.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img