KEMENTERIAN Kewangan (MoF) hari ini menafikan dakwaan bahawa semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara sekali bayar (one-off), sempena Hari Kebangsaan.
Menerusi hantaran di Facebook, MoF memaklumkan, poster yang mendakwa pemberian berkenaan adalah palsu dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkannya.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai atau menyebarkan poster yang mendakwa semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara one-off kerana maklumat tersebut adalah PALSU.
“Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa tiada pengumuman rasmi mengenai pemberian SARA seperti yang didakwa dalam poster berkenaan,” menurut hantaran MoF itu hari ini.
Sehubungan itu, MoF menggesa orang ramai supaya mendapatkan maklumat yang sahih menerusi saluran rasmi kementerian sebelum berkongsi sebarang maklumat bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang boleh mengelirukan masyarakat.





