Harga subsidi Budi MADANI RON95 kekal RM1.99 seliter – MOF

HARGA subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kekal pada paras RM1.99 seliter meskippun harga minyak mentah global kini melebihi AS$100 (RM480) setong sejak tercetusnya konflik di Asia Barat.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan mengekalkan harga RON95 di bawah BUDI95 pada RM1.99 bagi melindungi isi rumah, namun harga RON97 dan diesel diselaraskan mengikut Mekanisme Harga Automatik (APM) secara berperingkat selaras dengan kenaikan harga global sejak krisis berkenaan bermula penghujung Februari 2026.

Bermula 19 Mac sehingga 25 Mac 2026, harga runcit RON97 diselaraskan kepada RM4.55 seliter berbanding RM3.85 sebelum ini, manakala harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM4.72 seliter.

Walau bagaimanapun, selain pengekalan BUDI95, kerajaan juga mengekalkan harga RON95 tanpa subsidi pada kadar RM3.27 seliter, dan harga diesel di Sabah, Sarawak serta Labuan terus kekal pada harga RM2.15 seliter.

MOF menegaskan bahawa walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, kelangsungan perolehan produk petroleum untuk pasaran domestik masih tertakluk kepada pasaran global.

Justeru, turun naik harga tempatan sangat dipengaruhi oleh pergerakan antarabangsa. Namun, kerajaan memilih untuk tidak memindahkan sepenuhnya bebanan kenaikan harga berkenaan terus kepada poket rakyat.

Sebagai memperkukuhkan asas tanggungjawab fiskal ini, kenyataan kementerian turut menggariskan komitmen besar negara:

“Melalui langkah kerajaan mengekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia dan harga diesel pada RM2.15 seliter untuk pengangkutan awam dan sektor pengangkutan barangan darat, beban subsidi yang ditanggung kerajaan melebihi RM3 bilion sebulan.”

Daripada sudut analisis ekonomi domestik, keputusan kerajaan mengekalkan harga RON95 tanpa subsidi pada kadar sedia ada adalah langkah strategik bagi mengelakkan kejutan tekanan kos tambahan ketika rakyat rancak mengatur perjalanan cuti perayaan.

Ini secara langsung memastikan persediaan rakyat menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri kekal lancar dan terjamin.

Tambahan pula, keselamatan rantaian bekalan dan kestabilan harga barangan terus disokong menerusi perlindungan ke atas lebih 400,000 kenderaan komersial, termasuk bas ekspres, lori, dan treler.

Melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), impak kenaikan kos logistik dan pengangkutan dapat dikekang daripada melonjak secara mendadak.

Pendekatan bersasar yang diamalkan ini amat kritikal dalam mengurangkan kesan rantaian inflasi ke atas perbelanjaan isi rumah dan menyokong kestabilan makroekonomi.

Menyedari risiko ketirisan akibat jurang harga bahan api yang besar antara Malaysia dan negara jiran, agensi penguatkuasaan kini memperhebatkan operasi pemantauan di sempadan.

Tindakan tegas ini adalah untuk membendung kegiatan penyeludupan dan memastikan setiap sen subsidi yang dibelanjakan benar-benar dinikmati oleh warganegara Malaysia sahaja, di samping mengelakkan sebarang manipulasi harga yang tidak munasabah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Secara rumusnya, walaupun pasaran dunia terus diasak ketidaktentuan geopolitik yang meruncing, harga bahan api di Malaysia kekal berada antara yang paling rendah di rantau Asia Tenggara. Ini membuktikan keberkesanan dasar Kerajaan MADANI yang mengurus sumber secara berhemah dengan terus mengekalkan sebahagian subsidi demi melindungi kesejahteraan ekonomi domestik serta kelangsungan hidup rakyat.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img