
KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRN) Negeri Sembilan (NS) baru-baru ini yang menyaksikan persefahaman politik antara Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dengan Perikatan Nasional (PN) yang melibatkan Pas mula menggerunkan bukan sahaja parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) tetapi juga penyokong-penyokong mereka.
Justeru pelbagai pandangan dilontar, pelbagai analisa dibuat dan pelbagai hujah dibentangkan, malangnya sama ada hendak diakui atau tidak, majoritinya melihat persefahaman yang berteraskan penyatuan Melayu dari sudut negatif.
Yang berjiwa politik, mereka mengganggap ia tidak baik kerana dilihat berunsur perkauman, yang bertindak sebagai penganalisis politik menganggap kesepakatan itu tidak akan bertahan lama manakala ada segelintir pemimpin dalam BN-PN sendiri gelisah kerana mereka bimbang kedudukan mereka tergugat.
Lebih melucukan ada pula yang berkata, persefahaman politik tersebut lebih kepada memburu kuasa dan melindungi pemimpin politik yang tidak berintegriti. Ia seolah-olah menggambarkan penyatuan politik kkhususnya melibatkan UMNO, Pas dan Wawasan akan membawa petaka kepada negara.
Persoalannya kenapakah kelompk tertentu terlalu takut dengan penyatuan parti-parti Melayu ini? Apakah mereka bimbang jika parti Melayu bekerjasama ia akan menghuru-harakan? Atau adakah mereka takut kerjasama itu akan meranapkan kuasa politik parti-parti lain sepertimana berlaku di Johor, Negeri Sembilan dan mungkin pula selepas ini di Melaka?
Justeru bagi yang berjiwa politik mereka cuba menguar-uarkan dari segi perkauman, sang penganalisis pula memberi gambaran bahawa persefahaman itu tak kan ke mana, tetapi mereka tidak pula melihat PH yang kini berantakan.
Paling malang apabila ada dalam kalangan ahli politik yang terlibat dalam persefahaman antara BN dan PN itu turut memberi pandangan negatif. Mereka sebenarnya bimbang jika parti mereka tergugat, mereka sebenarnya takut nanti mereka tidak mendapat tempat menjadi calon. Mereka tidak memikirkan pentingnya parti-parti Melayu bersatu.
Sebelum ini persefahaman antara dua parti besar khususnya melibatkan UMNO dan Pas dalam pilihan raya dianggap mustahil atau diragui. Mereka berpandangan mana mungkin kedua-dua parti-parti Melayu yang mencapai kesepakatan dari segi pembahagian kerusi.
Malah mereka juga tidak menyangka Wawasan yang diterajui oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang merupakan parti serpihan Bersatu mampu menang tujuh kerusi di Negeri Sembilan. Mungkin ada yang berhujah bahawa majoriti undi itu datang daripada penyokong UMNO dan Pas, namun ia tidak ada salahnya. Malah ia membuktikan melalui penyatuan Melayu ini, tidak kira parti manapun mereka pasti disokong.
Keadaan ini samalah seperti mana dalam PH, tidak kiralah parti mana pun yang mewakili PH, mereka tetap akan mendapat undi penyokong PH.
Taktikal Pengerusi BN, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi, kewibawaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan pemikiran strategis, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sudah dibuktikan di Johor dan terbaru di Negeri Sembilan.
Hasilnya di Johor, ‘persefahaman secara senyap’ membantu BN menang 40 dari 56 kerusi manakala di Negeri Sembilan BN-PN menumbangkan Pakatan Harapan apabila menguasai 25 daripadan 36 kerusi DUN.
Gelombang biru (BN-PN) ‘yang diiringi arus putih’ (Wawasan) telah ‘meranapkan’ Pakatan Harapan di kedua-dua negeri itu. Dan kini perancangan sedang dibuat untuk ‘mengarahkan’ gelombang itu ke wilayah-wilayah lain.
Keadaan inilah menyebabkan ramai yang tidak gemar kepada penyatuan parti Melayu berasa gelisah. Mereka berhujah macam-macam untuk mempengaruhi pengundi khususnya orang Melayu. Hakikatnya mereka bimbang, penyatuan tersebut akan mewujudkan kembali kekuatan politik Melayu bukan sahaja di negeri-negeri tetapi juga pusat.
Justeru mereka cuba sedaya upaya memburuk-burukkan kerjasama tersebut termasuklah dalam kalangan bukan Melayu dengan menggambarkan ia pakatan ekstrem kerana melihatkan Pas. Tetapi lihat apa yang berlaku di Negeri Sembilan, taktik itu tidak berkesan! Orang Melayu bangkit membuat keputusan menerima persefahaman BN-PN.
Oleh itu jika mahu menentang kesepakatan BN-PN lakukanlah melalui proses demokrasi iaitu pilihan raya bukan melalui andaian,analisis apatah tuduhan. Pertarungan politik sudah berbeza, pemikiran rakyat sudah berubah.
Walaupun ada ‘cerdik pandai’ yang rimas secara sinis menyifatkan ia sebagai kesepakatan UMPAS (UMNOPAS) namun ia sudah tentulah lebih baik daripada nasib sebuah parti yang ‘semakin sukar bernafas’, ‘asyik dihempas’ sehingga akhirnya mungkin akan menjadi ‘hampas’’.






