AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang merampas 1,050 kotak rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM17,000 selepas memintas sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Kuantan, kelmarin.
Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, rampasan itu dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari selepas sebuah VNT Kelas C2 dikesan dalam keadaan mencurigakan menuju ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan.
Menurutnya, vesel terbabit dipintas bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Ops Makmur dan Ops Tiris pada kedudukan kira-kira dua batu nautika barat daya Kuala Kuantan untuk tujuan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan 18 kru terdiri daripada seorang tekong, dua warga Thailand dan 15 warga Kemboja berusia antara 26 hingga 61 tahun.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 1,050 kotak rokok putih pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai dengan nilai rampasan dianggarkan RM17,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazlan berkata, siasatan awal turut mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan beberapa kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63 termasuk berkaitan dokumen yang disyaki meragukan.
Katanya, semua kru bersama vesel dan barang rampasan diiring ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Pahang untuk tindakan lanjut.
Beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan, risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan, perikanan haram serta sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Pahang di talian 09-571 7345 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.






