JENAZAH pelakon veteran, Allahyarham Kamarool Yusoff, 68, atau lebih dikenali sebagai Cik Man selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual, Petai Lima di Tanah Merah, Kelantan pagi ini.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandi serta dikafan dan disolatkan di Masjid Mukim Kuala Paku.

Lebih 500 orang termasuk ahli keluarga, rakan artis dan kenalan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham pada pengebumian kira-kira jam 11.50 pagi itu.
Antara artis turut hadir ialah Amir Raja Lawak, Atu Zero dan Mamak Puteh.
Sementara itu, isteri Allahyarham, Norliza Mohd Aduni, 49, memberitahu, sejak tiga minggu kebelakangan ini, Allahyarham sering mengadu keletihan selain keadaan kesihatannya yang semakin merosot.
“Kelmarin sekitar jam 10 malam, arwah mengadu sakit gastrik sebelum tiba-tiba mengalami sesak nafas.
“Saya kemudiannya segera membawa arwah mendapatkan rawatan di Hospital Tanah Merah, namun terpaksa ditidurkan berikutan keadaan jantungnya yang lemah.
“Tidak beberapa lama kemudian, arwah menghembuskan nafas terakhir di sisi saya ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tanah Merah, petang semalam,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gual Ipoh, Tanah Merah hari ini, lapor BH.
Media semalam melaporkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5.15 petang dipercayai akibat serangan jantung, ketika menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.
Allahyarham sebelum itu dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah saluran jantung tersumbat dan berada dalam pemantauan pasukan perubatan.
Menurut Norliza, sepanjang 30 tahun hidup bersama, Allahyarham disifatkan seorang suami yang sangat baik dan tidak pernah berkira, malah sentiasa berusaha sedaya upaya untuk memenuhi apa sahaja keperluan serta kehendaknya.
“Arwah juga seorang yang suka membuat lawak, namun mempunyai pendirian yang tegas,” katanya.
Dalam pada itu, Norliza turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir memberikan penghormatan terakhir termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud serta isteri yang meluangkan masa menziarahi mereka sekeluarga.
“Malah, kehadiran rakan-rakan pempengaruh dari Kelantan serta penduduk kampung yang mengenali arwah turut memberikan semangat kepada keluarga dalam menghadapi detik sukar itu.
“Arwah seorang yang sangat mesra dengan orang kampung. Ramai yang datang kerana mereka mengenali sikapnya yang mudah didekati dan suka membantu orang.
“Saya juga berterima kasih kepada semua yang hadir memberikan sokongan serta mendoakan arwah,” katanya.






