TAKTIK sindiket menjadikan sebuah rumah teres sebagai stor penyimpanan rokok seludup terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa di Taman Sri Serdang, semalam.
Serbuan kira-kira jam 8 malam itu dijalankan sepasukan anggota Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, yang turut menahan tiga individu.
Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi berkenaan berjaya membongkar kegiatan penyimpanan dan pengedaran rokok tidak bercukai kastam yang dipercayai aktif di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, lima suspek termasuk seorang penyelia berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan di dalam rumah terbabit menemukan sejumlah besar rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai kastam disimpan di beberapa bahagian premis termasuk ruang tamu, bilik utama, bilik kedua, ruang stor dan ruang rehat.
“Kesemua rokok ini dipercayai untuk pasaran tempatan dan juga diedarkan ke luar negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 5,111 karton rokok pelbagai jenis dirampas dalam serbuan tersebut.
“Nilai rampasan sebenar dianggarkan RM1.02 juta, manakala keseluruhan nilai termasuk cukai dianggarkan mencecah RM1.28 juta,” katanya.
Tambah beliau, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan rumah teres itu sebagai lokasi penyimpanan sementara sebelum rokok diagihkan ke pasaran.
“Hasil risikan mendapati kegiatan ini dilakukan secara tersusun bagi mengaburi pihak berkuasa. Operasi ini berjaya mematahkan rangkaian sindiket penyimpanan, pengedaran dan penjualan rokok tanpa cukai kastam di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Kesemua suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.


