KEJAYAAN Barisan Nasional (BN) dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini tidak akan menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil sebaliknya berkata, kerjasama politik di peringkat negeri perlu dilihat sebagai perkara berasingan daripada persefahaman yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata, persefahaman antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan ketika ini sudah dimeterai sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, perjanjian itu akan kekal terpakai sehingga tamat penggal.
“Ia adalah dua perkara yang terpisah kerana untuk di peringkat kerajaan keseluruhan, kita telah menandatangani perjanjian persefahaman seawal sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan itu.
“Ia telah ditandatangani di Putrajaya sebelum sidang pertama Parlimen. Jadi, ia adalah sesuatu yang terbentuk dan perjanjian itu terpakai sehingga berubah Parlimen, jadi sehingga akhir penggal.
”Komitmen daripada rakan-rakan juga sangat jelas. Jadi, kita tidak melihat pada apa-apa keadaan yang menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pelancaran HUB Platform Inovasi (EIP) Perusahaan U Mobile di Subang Hi-Tech Industrial Park di Subang Jaya hari ini.
Fahmi diminta mengulas kebimbangan bahawa kemungkinan kemenangan BN serta kerjasama dengan Perikatan Nasional boleh memberi kesan terhadap hubungan politik di peringkat Persekutuan.
BN sebelum ini mencatat kemenangan dalam PRN Johor manakala di Negeri Sembilan pula, kerjasama BN dan PN turut menyaksikan gabungan berkenaan mencapai kejayaan dalam PRN, sekali gus memperkukuh kedudukan mereka dalam politik negeri.






