Remaja hilang selepas kemalangan ditemukan maut dalam parit

MISTERI pencarian seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung terungkai apabila mangsa ditemukan maut di dalam parit berhampiran lokasi kejadian.

Mangsa, Muhammad Zulhaire Zakwan, 18, menunggang motosikal Yamaha Y15 dari tempat kerjanya di Puncak Alam, Selangor menuju ke Ayer Baloi, Pontian pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, ahli keluarganya hanya dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada kira-kira jam 11 malam sebelum bergegas ke lokasi.

Setibanya di tempat kejadian, ahli keluarga hanya menemui topi keledar dan sebelah selipar milik mangsa.

Susulan itu, mereka meminta bantuan orang ramai mengesan remaja terbabit sebelum menerima berita bahawa mangsa telah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan berlaku pada jam 8.15 pagi semalam di Kilometer 144.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan selepas melanggar penghadang kiri jalan sebelum terbabas.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak ke dalam parit dan mengalami kecederaan parah di kepala serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk bedah siasat manakala sampel darah turut diambil bagi tujuan analisis oleh Jabatan Kimia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Balai Trafik Muar,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial hantaran seorang wanita yang menggunakan nama Zulaikhaneem meminta bantuan orang ramai mengesan adik lelakinya yang dilaporkan hilang selepas kemalangan berhampiran susur keluar Bukit Gambir.

Wanita itu memaklumkan mereka hanya menemui topi keledar dan sebelah selipar mangsa di lokasi kejadian sebelum polis kemudian mengesahkan remaja terbabit telah meninggal dunia.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img