SEORANG guru lelaki diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun, hampir empat tahun lalu.
Hakim Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Norisyam Mohd. Aris, 47, di akhir kes pendakwaan.
“Selepas meneliti keterangan saksi-saksi serta eksibit dan membuat penilaian maksimum, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
“Tertuduh dengan ini diperintah membela diri atas pertuduhan berkenaan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Norisyam didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah bilik di sebuah sekolah berasrama penuh dalam daerah ini pada kira-kira pukul 10.25 pagi, 1 November 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Surita kemudian memberikan tiga pilihan kepada tertuduh untuk membela diri, iaitu memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi, memberi keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh atau berdiam diri.
Norisyam memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Wajih Zakwan Hanif.
Mahkamah menetapkan 17 dan 19 Ogos ini sebagai tarikh sambung bicara bagi pembelaan.






