KEGEMBIRAAN dua beradik memancing di Sungai Semayan, Pulau Banggi, Kudat, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka, kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, maut dipercayai dibaham buaya, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang juga murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Semayan dipercayai turun ke sungai untuk melepaskan mata kail pancingnya yang tersangkut sebelum disambar reptilia berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang guru sekolah kira-kira jam 4.30 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa pergi memancing bersama abangnya di sungai berkenaan sebelum kejadian berlaku.
“Susulan kejadian itu, operasi mencari dijalankan polis bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
“Selepas beberapa jam pencarian, mangsa ditemukan meninggal dunia di bawah jambatan Sungai Semayan,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor BH.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Mayat mangsa dibawa ke Balai Polis Karakit sebelum dihantar ke Hospital Kudat untuk tindakan lanjut.
Katanya, bedah siasat akan dijalankan selepas mendapat pengesahan pihak forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).





