Suami isteri warga emas, cucu cedera pokok tumbang hempap Ativa

SEPASANG suami isteri bersama cucu perempuannya cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka dihempap pokok tumbang berhadapan pangsapuri 218 Tropicana di Jalan Macalister, Georgetown hari ini.

Ketiga-tiga mangsa yang cedera kemudian segera dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan lanjut.

ORANG ramai dan pasukan bomba dan penyelamat membantu mangsa yang cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap sebuah Perodua Ativa di Jalan Macalister di Georgetown pagi ini. GAMBAR: JBPM Pulau Pinang

Difahamkan, pokok yang tumbang itu adalah jenis angsana yang dianggar berusia 90 tahun dengan ukur lilit kira-kira lima pemeluk orang dewasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, panggilan diterima pihaknya mengenai kejadian pada jam 9.12 pagi menerusi talian NG999.

Kejadian membabitkan pokok setinggi kira-kira 30 meter tumbang melintangi Jalan Macalister.

SEBATANG pokok tumbang menghempap sebuah Perodua Ativa mengakibatkan sepasang suami isteri warga emas dan cucu mereka cedera di Jalan Macalister di Georgetown pagi ini. GAMBAR: JBPM Pulau Pinang

“Pokok yang tumbang itu mengenai sebuah kenderaan jenis Perodua Ativa yang dinaiki pasangan suami isteri berusia lingkungan 60-an bersama cucunya berusia sembilan tahun.

“Mangsa dikeluarkan oleh orang awam di lokasi sebelum pasukan penyelamat tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut John berkata, pokok berkenaan dianggarkan kira-kira lima pemeluk dewasa dan pasukan penyelamat melakukan pemotongan dan pengalihannya.

“Difahamkan kanak-kanak itu cedera di badan manakala pasangan terbabit luka ringan dan diberi rawatan awal di lokasi oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke hospital bagi diberi rawatan lanjut.

“Kes diserah kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebaik dipastikan keadaan di lokasi berada dalam keadaan selamat,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, berdasarkan maklumat setakat ini, tiga dilaporkan cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, pasukannya juga sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat lanjut, serta memberikan bantuan yang diperlukan.

“Semoga semua mangsa berada dalam keadaan selamat, orang ramai yang melalui kawasan tersebut juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi arahan lalu lintas di lokasi kejadian,” katanya dalam catatan di Facebook.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img