RM147,000 wang pesara guru  ‘hangus’ akibat terperdaya sindiket menyamar pegawai polis

SEORANG pesara guru berusia 72 tahun kerugian RM147,000 wang simpanan selepas diperdaya sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Cyberjaya.

Wanita warga emas itu dipercayai diperdaya sejak 14 Ogos lalu menerusi panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram melibatkan sebuah bank dan skandal agensi pembekalan air terawat.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin, berkata mangsa turut diugut dengan tindakan undang-undang sekiranya gagal memberikan kerjasama.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa memindahkan semua wang simpanan dalam akaun Tabung Haji ke akaun bank miliknya atas alasan bagi tujuan keselamatan. Malah, mangsa turut diarah meletakkan kad ATM miliknya di pintu Dewan Seri Setia, Tanjong Karang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azaharudin berkata, pesara guru itu kemudian diberitahu bahawa kad ATM berkenaan sudah sampai ke Bank Negara sebelum diminta menyerahkan maklumat perbankan kepada suspek.

Katanya, suspek turut meminta mangsa memasukkan wang tambahan ke akaun bank sama kononnya bagi tujuan jaminan diri.

“Bagaimanapun, kelmarin mangsa menceritakan kejadian itu kepada anak-anaknya sebelum dimaklumkan bahawa dia sebenarnya menjadi mangsa sindiket penipuan. Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada kira-kira 11.30 pagi semalam,” katanya.

Beliau berkata, susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here