DATUK Seri Anwar Ibrahim membidas sikap wakil rakyat pembangkang yang bertindak keluar daripada Dewan Rakyat kerana tidak mahu menyertai perbahasan dalam Sidang Khas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) pagi ini.
Menurut Perdana Menteri, sikap yang ditunjukkan oleh pembangkang itu seolah-olah mereka mahu bermain drama politik.
“Nak bahas tentang saya, atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya, atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?.
“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam,” kata Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.
Menurut Anwar, sikap ditunjukkan wakil rakyat pembangkang ini membuktikan mereka tidak mementing orang awam atau rakyat yang bersusah payah menyimpan wang hasil keringat mereka dalam TH.
“Apakah PN yang ditunjangi Pas tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?,” soal beliau dalam hantaran itu.
Pembangkang pagi ini bertindak keluar Dewan Rakyat dan enggan meneruskan perbahasan laporan RCI berkaitan TH selepas Perdana Menteri tidak hadir pada sidang khas hari ini.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini dilaporkan berkata, kehadiran Anwar penting bagi membolehkan penjelasan menyeluruh diberikan berhubung laporan berkenaan, lebih-lebih lagi sidang khas diadakan atas arahan perdana menteri.
Perdana Menteri sedang menjalani pemeriksaan dan prosedur yang ditetapkan oleh pasukan pakar perubatan dan dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari sejak semalam.
Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah semalam berkata, Anwar selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia).
Anwar hari ini dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Akhbar Kanan beliau, Tunku Nashrul Abaidah turut memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam sidang khas bagi membahaskan laporan RCI berkaitan TH dan mendoakan agar persidangan berjalan lancar.





