PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu tunduk kepada sebarang tekanan politik yang mendesak supaya Parlimen dibubarkan lebih awal, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Beliau berkata, kuasa dan hak prerogatif untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen hanya terletak di tangan Perdana Menteri.
“Kita tahu mereka cuba menggunakan momentum sekarang ini untuk menekan Perdana Menteri membubarkan Parlimen tapi saya yakin Perdana Menteri tidak akan tunduk kepada tekanan kerana Perdana Menteri masih ada mandat, masih ada sokongan yang cukup di Parlimen untuk meneruskan pentadbirannya.
“Mandat beliau ada setahun lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) di Batu Berendam, Melaka malam ini, lapor Bernama.
Anthony ditanya mengenai desakan supaya Parlimen dibubarkan berbanding melakukan rombakan Kabinet susulan tempoh pelantikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara akan berakhir pada 11 Disember ini.
Terdahulu, beliau mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediaman bekas Perdana Menteri itu.
Anthony berkata, walaupun beliau telah melepaskan jawatannya dalam Kabinet, DAP kekal memberikan sokongan penuh kepada Anwar untuk terus menerajui kepimpinan negara sehingga tamat penggal pentadbiran.
Sehubungan dengan itu, beliau menyifatkan desakan agar Parlimen dibubarkan sebagai sekadar “permainan politik” dan menasihati rakan sekutu dalam kerajaan untuk membuat ketetapan sendiri sekiranya sudah tidak lagi sehaluan.
“Sepatutnya, kalau mereka rasa sudah tidak boleh bekerjasama ataupun tidak lagi menghormati Perdana Menteri, mereka boleh buat tindakan mereka dari segi sokongan ataupun menarik balik sokongan.
“…tetapi tak payah menekan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen,” katanya.





