Akhirnya kesabaran Pemerintah Thailand terhadap kebiadaban dan keangkuhan Barisan Revolusi Nasional (BRN) sampai ke kemuncaknya pada 28 Julai lalu apabila memutuskan menangguhkan rundingan damai dengan puak pemisah itu yang dijadualkan pada bulan depan.
Penangguhan itu dilakukan, selepas serangan maut di Narathiwat pada 22 Julai yang menyaksikan lima anggota renjer Thailand dibunuh oleh puak pemisah.
Pengarah Agensi Perisikan Kebangsaan Thanat Suwannanont berkata proses dialog itu pada mulanya berjalan lancar sebelum serangan tersebut mendorong pihak berkuasa untuk menilai semula keadaan.
“Tiada rundingan akan diadakan pada September. Kita telah mengatur pertemuan itu lebih awal, namun insiden tersebut berlaku. Keganasan itu terlalu ekstrem untuk kita terima. Kita dalam proses rundingan apabila perkara ini berlaku.
“Walaupun kumpulan pejuang itu mungkin bertindak mengikut naluri mereka, kita sebenarnya telah memulakan proses dialog tersebut. Apabila keganasan berlaku, kita terpaksa bermula semula dari awal,” katanya kepada pemberita.
Thanat, yang juga mengetuai Panel Dialog Keamanan Wilayah Sempadan Selatan Thailand, berkata kerajaan telah menghantar surat kepada kumpulan pemberontak berkenaan bagi mendapatkan penjelasan mengenai serangan itu, yang berlaku ketika proses keamanan sedang berjalan.
Beliau menambah Perdana Menteri Anutin Charnvirakul sentiasa menegaskan bahawa dialog kekal sebagai antara pendekatan jangka panjang utama untuk menyelesaikan konflik di wilayah sempadan selatan Thailand, dan bukannya sekadar tindak balas jangka pendek terhadap insiden-insiden tertentu.
Sememangnya keputusan Pemerintah Thailand adalah tepat kerana serangan terbaru itu membuktikan BRN sama sekali tidak ikhlas dalam mengadakan rundingan damai. Mereka hanya berpura-pura dan menjadikan proses tersebut untuk menunjukkan kononnya mereka kelompok penting dan berpengaruh.
Tetapi hakikatnya BRN hanya bertopeng dalam soal tersebut, ini terbukti apabila pada 5 Julai lalu selepas berlakunya letupan bom yang mencederakan dua rakyat Malaysia di Tak Bai , BRN menegaskan keganasan yang meningkat di Selatan Thailand mencerminkan kegagalan rundingan mencapai kemajuan, bukannya penolakan terhadap dialog.
Paling mengecewakan, BRN sendiri melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekteriat Dialog Damai puak pemisah itu mengakui;
‘’Perjuangan bersenjatanya yang didakwa telah memasuki tahun ke-23 sejak 2004, terus menyasarkan pasukan keselamatan Thailand, kumpulan bersenjata yang disokong kerajaan serta projek kapitalis yang didakwa mengancam mata pencarian, alam sekitar dan identiti masyarakat Melayu Islam Pattani.’’
Sehubungan itu BRN perlu menunjukkan keikhlasannya, bukan sekadar bermain sandiwara setiap hari, jika masih ingin mempunyai hasrat untuk meneruskan rundingan.
Ia kerana ramai melihat selama ini meja rundingan hanyalah ‘pentas sandiwara’ dan ‘gelanggang hipokrit’ BRN yang sebenarnya tidak berhasrat untuk menyelesaikan konflik di Selatan Thailand.
Mereka datang ke meja rundingan semata-mata untuk diraikan sebagai kononnya orang penting. Mereka datang untuk membuat janji-janji palsu, mereka datang untuk menunjukkan kepada dunianya mereka sedia berunding.
Tetapi hakikatnya, mereka adalah puak pengganas dan mereka hanya memilih jalan keganasan untuk meneruskan perjuangan sia-sia mereka. Mereka tidak pedulipun apa mahu berlaku di Selatan Thailand, mereka tidak kisahpun umat Islam menderita akibat perbuatan mereka.
Sebaliknya mereka berbangga kerana terus berjaya menghuru-harakan wilayah itu dan pada masa sama terus bersandiwara merayu kepada NGO asing membantu mereka kononnya mahu menyelamatkan penduduk Islam.
Kenyataan paling jahil dibuat oleh BRN ialah mendakwa, sayap bersenjatanya menghormati dan mematuhi undang-undang antarabangsa!
Undang-undang antarabangsa mana dirujuk BRN? Klausa mana dalam undang-undang itu membenarkan puak pemisah membunuh orang tak berdosa, bahagian mana undang-undang itu menyatakan puak pemisah boleh menyerang dan membunuh anggota keselamatan di sebuah negara yang merdeka dan berdaulat!
Undang-undang antarabangsa mana membenarkan puak pemisah boleh menghalang orang awam menyertai pasukan keselamatan Thailand demi menjaga tanah air mereka! Undang-undang antarabangsa mana yang membenarkan BRN membunuh wanita dan kanak-kanak waima bayi sedang menyusu!
Berdasarkan kepada kecelaruan tafsiran BRN terhadap undang-undang antarabangsa dan terus bertegas dengan pendirian mereka memilih melakukan keganasan untuk memberi tekanan kepada kepada Pemerintah Thailand adalah wajar rundingan damai ditangguhkan.
Malah amat tepat sekali apabila pemerintah Thailand menyatakan ‘’ Apabila keganasan berlaku, kita terpaksa bermula semula dari awal’’ – Makna mereka tidak akan lagi ‘beri muka’ kepada BRN yang selama ini datang ke meja rundingan cakap lain tetapi apabila pulang buat lain.
Di meja rundingan, mereka memperdayakan Pemerintah Thailand dengan mengemukakan pelbagai cadangan kononnya demi mewujudkan keamanan di wilayah selatan tetapi di belakang mereka menyusun pelbagai strategi untuk menghancurkan keamanan itu melalui tindakan keganasan!
Apa gunanya terus berunding? Apa gunanya mengemukakan cadangan itu dan ini kalau ia sekadar menjadi agenda mesyuarat semata-mata? Ia bukan salah Pemerintah Thailand tetapi akibat sikap tidak ikhlas dan tidak jujur BRN.
Kini terserah kepada Pemerintah Thailand apa mahu dilakukan dengan proses rundingan damai. Selama ini mereka sudah melakukan yang terbaik tetapi ia dibalas dengan cadangan tidak sewajarnya oleh BRN.
Justeru kalau BRN masih keras dengan pendirian songsang kononnya gerakan bersenjata mereka mengikut undang-undang antarabangsa maka Pemerintah Thailand juga berhak menggunakan sepenuhnya undang-undang antarabanga untuk mempertahankan kedaulatan negara itu dan menggunakan apa juga cara untuk memastikan tidak ada seincinpun wilayah Thailand diancam oleh puak tidak bertamadun seperti BRN.





