JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan sebanyak 1,043 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan besar-besaran di seluruh negara yang dijalankan selama dua hari sejak kelmarin.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu membabitkan pemeriksaan terhadap 3,307 warga asing dengan individu yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Kalau ikut statistik daripada semalam dan hari ini, seramai 3,307 orang yang kita periksa dan daripada jumlah itu kita tahan keseluruhannya ialah 1,043 orang di seluruh negara.
“Tiga kewarganegaraan utama yang ditahan adalah Bangladesh (370 individu), Indonesia (328) dan Myanmar (183), manakala majoriti tahanan terdiri daripada lelaki berumur antara 17 hingga 59 tahun.
“Fokus kita untuk kali ini ialah untuk kawasan-kawasan penempatan warga asing yang kebanyakannya daripada aduan orang awam dan maklumat risikan,” katanya pada sidang media ketika Op Sasar di Apartment Suteramas di Kuala Lumpur semalam.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
Katanya, imigresen turut mengeluarkan 45 saman saksi kepada warga Malaysia sepanjang operasi berkenaan bagi membantu siasatan, termasuk terhadap pemilik rumah yang disyaki melindungi warga asing tanpa dokumen sah.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya kini secara purata melaksanakan lebih lima hingga enam operasi setiap hari di seluruh negara susulan peningkatan aduan rakyat berhubung kehadiran warga asing.
“Kalau ikut data kita, secara purata di seluruh negara, lebih daripada lima hingga enam operasi dilaksanakan setiap hari,” katanya.




