Datuk Seri didakwa pecah amanah RM37.1 juta dana syarikat

SEORANG ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM37.1 juta, empat tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Seri Zul Azmi Abu Hussin, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku pengarah Syarikat Xspec Resources Sdn Bhd yang diamanahkan dengan penguasaan harta iaitu dana syarikat, didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM37,099,999.67.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Taman Tunku, Bukit Tunku pada 15 Februari 2022.

Zul Azmi didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Suriatey Mohamed Yusoff memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam bela Edly Mohammad Firdaus memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dengan alasan anak guamnya menanggung isteri, lima anak dan ibu bapanya.

Beliau turut memaklumkan tertuduh mempunyai masalah kesihatan termasuk kolesterol dan darah tinggi.

“Anak guam telah dipanggil memberi keterangan hari ini sebelum didakwa di mahkamah.

“Beliau memberikan kerjasama yang baik kepada pegawai penyiasat. Jaminan bukan satu bentuk hukuman awal terhadap seseorang tertuduh, sebaliknya bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mohd Kafli membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan seperti pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes kemudian ditetapkan untuk sebutan pada 5 Oktober ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here