1,259 kontena e-waste Pelabuhan Klang disasar dibawa keluar tahun ini

SEBANYAK 1,259 kontena sisa elektronik (e-waste) di Pelabuhan Klang disasarkan dibawa keluar dari negara ini menjelang hujung tahun ini menerusi tindakan bersepadu agensi berkaitan.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, bagi fasa pertama, sebanyak 148 kontena berjaya dibawa keluar.

Katanya, bagi fasa kedua yang sedang dilaksanakan, pihaknya dengan kerjasama Lembaga Pelabuhan Klang serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan pengeluaran 533 kontena.

“Setakat ini kita berjaya bawa keluar 255 kontena dari Malaysia.

“Bagi fasa tiga bermula 1 Oktober ini, kita akan keluarkan baki 578 kontena e-waste dianggarkan seberat lapan juta kilogram ini bergantung kepada siasatan yang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media Pengarah JKDM Selangor di Pejabat Kastam Selangor, hari ini, lapor BH.

Nik Ezanee berkata, semua kontena berkenaan membabitkan kes yang ditahan sejak 2024.

Menurutnya, setakat ini tiada kontena yang dikesan mengandungi e-waste masuk semula ke negara ini selepas dihantar keluar.

“Namun ada kontena sama dengan muatan dagangan lain masuk ke dalam negara.

“Pemeriksaan sudah dijalankan JKDM bersama AKPS berdasarkan senarai direkodkan, namun kontena itu tidak membabitkan barangan e-waste,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut memberi jaminan terhadap keberkesanan mesin pengimbas di Pelabuhan Klang dalam mengesan barangan berisiko.

“Kita dari semasa ke semasa melatih pegawai scanner (mesin pengimbas) untuk menjalankan tugas dengan terbaik.

“Saya tidak nafikan ada kelemahan, tapi mahu beritahu kita tidak pernah henti untuk tambah baik perkhidmatan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here