Kontraktor penghantaran nafi cederakan teman wanita guna cecair disyaki asid

SEORANG kontraktor penghantaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap teman wanitanya menggunakan cecair berbahaya yang disyaki asid hidroklorik.

Tertuduh, S Taswinder, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap teman wanitanya, S Liviniya, 21, menggunakan cecair berbahaya disyaki ‘hydrochloric acid’.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tandas perempuan sebuah pusat beli-belah di sini pada jam 5.44 petang, 30 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian mencadangkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi merayu supaya anak guamnya diberikan ikat jamin pada kadar minimum atas alasan tertuduh telah memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

Menurutnya, jumlah jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan bersifat berlebihan kerana tujuan ikat jamin adalah memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

“Sebelum ini, anak guam hadir sendiri ke balai polis untuk memberikan rakaman percakapan, sekali gus menunjukkan komitmennya mematuhi proses undang-undang.

“Dia berjanji untuk hadir pada setiap prosiding kes serta mematuhi sebarang syarat yang difikirkan sesuai oleh mahkamah,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Khairatul Animah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 17 September depan untuk sebutan semula kes.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here