Ada pihak bimbang pendedahan Laporan RCI Tabung Haji – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat beberapa pihak yang seolah-olah bimbang dengan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) sehingga mempersoalkan ketidakhadiran di Parlimen, baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata,  siasatan berhubung perkara itu bukan dilakukan di bawah seliaannya, sebaliknya oleh pihak berkuasa.

“Rupa-rupanya ada gerun untuk dibahaskan secara terbuka dan lari dari Parlimen kerana mereka kata patutnya Perdana Menteri harus tangguhkan pembedahan perutnya.

“RCI ini beberapa kali telah dibentangkan di Parlimen, bukannya oleh Perdana Menteri, tapi menteri berkaitan dan siasat bukan urusan saya, tapi badan penguatkuasaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh hari ini.

Anwar juga juga Presiden PKR  berkata,  sebagai Perdana Menteri, beliau telah mengarahkan supaya sesiapa sahaja yang bertindak melanggar peraturan serta mencuri harta dan amanah rakyat perlu diambil tindakan tegas.

Selain itu, katanya, Yang di-Pertuan Agong turut menitahkan supaya siasatan tidak terhenti setakat TH, sebaliknya diteruskan kepada agensi lain.

“Ke bawah Duli Yang Mulia Yang di-Pertuan Agong, minggu lalu, maklum pada saya, jangan berakhir dengan TH saja… teruskan… selesai TH, bongkar Felda,” katanya.

Bagaimanapun Anwar berkata, tindakan tidak boleh dibuat berdasarkan tuduhan semata-mata sebelum terdapat kepastian hasil siasatan.

“Bukan hukum sebelum ada kepastian. Jangan terus tuding jari, biar badan penguatkuasa siasat secara profesional. Tapi sebagai orang bertanggungjawab, saya boleh katakan jangan berlengah, jangan bertolak ansur, parti mana, jawatan apa, kaum apa, salah menyakau, tangkap,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjawab dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan tindakan tegas kerajaan sebagai didorong dendam atau kerana terdesak.

“Ada orang, kononnya kalangan elit yang pintar katakan Perdana Menteri sekarang terdesak dan nampak dendam ambil tindakan. Saudara, 1MDB punya tindakan… lama sebelum saya dan beberapa tindakan kes besar lain juga diteruskan,” katanya.

Kata beliau, walau apa sahaja tuduhan yang dilemparkan ke atasnya, tindakan lebih tegas akan dilakukan bermula daripada sekarang.

“Kata mereka, kalau ambil tindakan dendam dan tidak ambil tindakan kompromi dan lembap. Kamu bicaralah apa-apa pun, saya nak jawab menyatakan bahawa proses tindakan lebih tegas bermula sekarang,” katanya.

Dalam ucapan itu, beliau sekali lagu mengulas kenyataan bahawa perbuatan ‘sakau’ memang berlaku dalam Tabung Haji.

“Saya nak ulang di Melaka, memang ada sakau dalam TH, RM12 bilion hilang itu bukan sakau?

“Harus diingat, bila kita mengambil keputusan untuk dedahkan laporan itu, ia keputusan Jemaah Menteri dan tiada seorang pun yang bantah, malah ada yang mencadangkan supaya jangan hentikan setakat 2020 sahaja, tapi sambung,” katanya



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here