MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) bertindak menggantung serta-merta tugas seorang pekerjanya susulan dakwaan salah laku gangguan seksual terhadap sekurang-kurangnya lapan pelajar di sebuah Institusi Pendidikan Mara (IPMa).
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan itu bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan tanpa sebarang gangguan daripada pihak yang terlibat.
Menurut beliau, perkara itu terbongkar selepas beliau menerima mesej secara terus daripada beberapa pelajar yang mendakwa menjadi mangsa, sebelum mengarahkan pengurusan Mara mengambil tindakan segera.
“Puas saya memujuk mereka agar buat juga laporan polis kerana ia membabitkan kes jenayah. Saya pelik pelajar tersebut lebih berani mengadu terus kepada saya berbanding pihak pengurusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tegas beliau, Mara tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang perilaku songsang dan memberi jaminan tiada kes akan disorokkan atau didiamkan atas alasan menjaga nama baik institusi.
“Jangan takut buat laporan atas sebarang salah laku, terutamanya gangguan seksual. Mara tidak sesekali akan berkompromi perilaku songsang dan akan mengambil tindakan tegas termasuk buang kerja pihak yang terlibat,” tegas beliau.





