MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) akan membuka tawaran pembiayaan kepada pelajar baharu yang berminat untuk mengikuti program kadet juruterbang, dengan keutamaan diberikan kepada pelajar tahfiz.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bagi tujuan itu, Mara akan mengeluarkan iklan berserta syarat kelayakan dalam tempoh terdekat.
“Pastinya pelajar-pelajar baharu yang mahu memohon (program) kadet pilot (juruterbang) ini mesti memenuhi syarat-syarat asas yang ditetapkan oleh akademi-akademi latihan penerbangan seperti Malaysia Aviation Group (MAG) dan BATS (BATS Aviation).
“Akademi-akademi yang ditaja Mara juga mesti ada perjanjian dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk menjamin pekerjaan kepada pelatih-pelatih yang bakal mendapat pembiayaan Mara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, syarat minimum untuk program itu termasuklah pelajar daripada aliran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
“Cuma kali ini walaupun tawaran dibuka kepada semua pelajar berkelayakan, namun keutamaan diberikan kepada pelajar tahfiz aliran STEM.
“Mereka akan melalui proses pemilihan termasuk temu duga. Fasa terakhir temu duga adalah dengan Pengerusi Mara sendiri untuk sesi tebuk hafazan atas tasmik al-Quran,” katanya.


